PGA rampas kayu disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM1.26 juta di Dungun

Foto PGA

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas pelbagai jenis kayu disyaki tidak bercukai serta peralatan pemprosesan kayu bernilai keseluruhan RM1.26 juta dalam satu serbuan di sebuah kilang kayu di Kampung Dendang, Mukim Jerangau, dekat sini semalam (Khamis).

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan Op Khazanah oleh Risik Batalion 9 PGA sekitar pukul 3 petang hasil maklumat.
  • Premis gagal mengemukakan dokumen atau lesen sah; dua lelaki tempatan berusia 45 dan 58 tahun ditahan.
  • Sita termasuk mesin gergaji, bilah pemotong, tiga jentera berat, 121 batang balak dan 49 palet; bahan diserahkan kepada Perhutanan Dungun.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan menerusi Op Khazanah itu dilaksanakan anggota Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu kira-kira pukul 3 petang hasil maklumat yang diterima.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mengemukakan dokumen atau lesen sah berkaitan operasi kilang serta kayu yang disimpan dan diproses di lokasi tersebut.

“Dua lelaki tempatan berusia 45 dan 58 tahun yang dipercayai pekerja serta penjaga kilang turut ditahan bagi membantu siasatan”, katanya dalam kenyataan.

Antara barangan yang disita termasuk dua mesin gergaji jenis band saw, 13 unit bilah pemotong rentas (cross cut blade), sebuah mesin pengasah bilah pemotong, serta tiga jentera berat daripada pelbagai jenis.

Turut dirampas ialah 121 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesies, bersama 49 palet kayu siap diproses yang kesemuanya berjumlah 19,475 batang.

Nilai keseluruhan rampasan pula dianggarkan RM1,265,275.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Ahmad Radzi turut memaklumkan pemantauan dan pemeriksaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti pembalakan haram, penyalahgunaan permit serta pencerobohan khazanah hutan simpan khususnya di Terengganu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.