
MOSCOW, 5 Jun – Rusia bersedia untuk menyambung semula bekalan gas ke Jerman melalui saluran paip Nord Stream yang rosak akibat letupan dasar laut pada 2022.
- Putin: satu saluran Nord Stream 2 masih utuh dan boleh digunakan bila-bila jika kerajaan Jerman memutuskan menerima semula bekalan gas.
- Isu bukan teknikal tetapi berkaitan kedaulatan politik Berlin dan sekatan Amerika Syarikat, menurut Putin.
- Letupan dasar laut 2022 merosakkan kebanyakan infrastruktur; siasatan dan usaha Eropah mengurangkan kebergantungan diteruskan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata satu daripada saluran Nord Stream 2, masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya kerajaan Jerman membuat keputusan untuk menerima semula bekalan gas dari Rusia.
“Nord Stream telah diletupkan tetapi satu bahagian Nord Stream 2 masih utuh. Kami boleh menyalurkan gas ke Jerman seawal esok. Ia hanya memerlukan keputusan daripada kerajaan Jerman,” katanya pada sidang media, Khamis.
Putin turut mendakwa isu terbabit kini bukan lagi soal teknikal, sebaliknya berkait rapat dengan kedaulatan politik Berlin dan hubungannya dengan sekutu Barat.
Beliau mendakwa saluran paip yang masih beroperasi itu berdepan sekatan Amerika Syarikat, namun menegaskan bekalan gas boleh disambung segera jika Jerman bersetuju.
“Jika kerajaan Jerman mencapai persetujuan dengan rakan-rakannya, mereka hanya perlu menekan butang dan gas akan mengalir. Ia boleh berlaku esok,” katanya.
Nord Stream merupakan rangkaian saluran paip utama yang menghubungkan Rusia dengan Jerman melalui Laut Baltik.
Sebahagian besar infrastruktur itu mengalami kerosakan teruk akibat letupan bawah laut pada September 2022, yang sehingga kini masih dalam siasatan dan pertikaian geopolitik.
Kenyataan Putin tersebut ketika Eropah terus berusaha mengurangkankebergantungan terhadap tenaga Rusia susulan konflik Ukraine yang berlarutan sejak 2022.