
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Lima penumpang tren Laluan Kelana Jaya cedera apabila tren yang dinaiki berhenti secara serta-merta apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan petang tadi.
- Tren bernombor 62 berhenti berhampiran Stesen Dang Wangi pada 6.07 petang.
- Panel kaca sisi pecah selepas botol air terlanggar ketika seorang penumpang berdiri hilang imbangan.
- Dua penumpang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur; yang lain dirawat di lokasi sebelum meneruskan perjalanan.
- Tren dikeluarkan dari perkhidmatan untuk pemeriksaan teknikal; perkhidmatan terus beroperasi dengan beberapa pelarasan kekerapan.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, insiden tersebut melibatkan tren bernombor 62 ketika berada berhampiran Stesen Dang Wangi pada 6.07 petang.
“Insiden berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen, menyebabkan tren berhenti secara serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.
“Pengaktifan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera,” menurut kenyataan itu.
Susulan pemberhentian tren secara serta-merta tersebut, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air dipegang terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.
Impak berkenaan menyebabkan panel kaca tersebut pecah dan serpihannya terkena pada beberapa penumpang yang duduk berhampiran.
“Berikutan kejadian tersebut, lima orang penumpang dilaporkan mengalami kecederaan. Dua daripada mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala penumpang yang lain menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan mereka,” tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun penumpang lain di dalam tren tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diturunkan di
Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga dan selaras dengan prosedur operasi standard, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan dengan lebih terperinci.
‘Sepanjang tempoh pengendalian insiden, perkhidmatan Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa. Bagaimanpun, terdapat pelarasan pada kekerapan tren di beberapa lokasi sementara tren yang terlibat dibawa keluar dari perkhidmatan.
“Rapid KL telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini perkhidmatan menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.
Dalam pada itu, Rapid KL turut menasihatkan semua penumpang untuk sentiasa berpegang pada pemegang tangan serta berada dalam kedudukan stabil sepanjang perjalanan, khususnya ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen.