Lelaki Rohingya didakwa pandu bahaya ragut nyawa penunggang motosikal

Foto RTM

MARANG, 4 Jun – Seorang lelaki warga Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kejadian minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh Shah Dullah Abul Hashim, 20 tahun, penganggur, didakwa memandu kereta secara melulu mengakibatkan kematian penunggang motosikal.
  • Kejadian dilaporkan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila.
  • Dakwaan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa hukuman lima hingga sepuluh tahun dan denda minimum RM20,000 hingga RM50,000.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin; diarahkan melapor diri setiap bulan. Sebutan semula pada 8 Julai.

Tertuduh, Shah Dullah Abul Hashim, 20 tahun, yang merupakan seorang penganggur, didakwa memandu sebuah kereta secara melulu sehingga mengakibatkan kematian mangsa, Saifullah Isyraf Shamsudin, 27 tahun.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta
333/87), yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Athirah Hashim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.