
IPOH, 4 Jun – Cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pendakian akan diteliti susulan peningkatan trend aktiviti pendakian lasak ketika ini.
- Pelaksanaan had masa kemasukan (cut-off time) bagi meningkatkan aspek keselamatan pendaki.
- Pendakian merentasi negeri semakin kerap; perlunya penyelarasan antara kerajaan negeri kerana bidang kuasa hutan simpan berbeza.
- Trend pendakian mencabar memerlukan penelitian menyeluruh terhadap keselamatan dan aksesibiliti laluan.
- Cadangan laluan hutan mesra pengunjung diklasifikasikan mengikut tahap risiko untuk bantu persediaan dan kelestarian.
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Persidangan Perhutanan Rakyat Negeri yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
Menurut beliau, antara cadangan yang akan diperhalusi termasuk pelaksanaan had masa kemasukan (cut-off time entry) bagi meningkatkan aspek keselamatan pendaki.
“Dia ada dua, satu cut-off entry. Satu lagi, pendakian merentasi negeri. Ada trend pendakian yang merentasi tiga atau empat negeri dan perkara ini juga akan kita bincangkan.
“Kerana hutan simpan ini bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan negeri masing-masing. Jadi, penyelarasan dan ketetapan perlu dilaksanakan bersama antara semua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2026 di Ipoh.
Menurut beliau, trend pendakian yang semakin mencabar memerlukan penelitian menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta aksesibiliti laluan pendakian.
Selain itu, cadangan mewujudkan laluan hutan mesra pengunjung (accessible forest trail) seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain turut diteliti.
Katanya, laluan pendakian berkenaan akan diklasifikasikan mengikut tahap risiko bagi membantu pendaki membuat persediaan lebih rapi, selain memastikan aspek keselamatan dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.