40 penembak hendap Gerak Khas tamat latihan

Foto RTM

LANGKAWI, 4 Oktober – Seramai 40 penyelia dan anggota penembak hendap Gerak Khas berjaya menamatkan latihan selama empat minggu di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (LISRAM), baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PULPAK menganjurkan Kursus Penyelia dan Kursus Ahli Sniper untuk memperkukuh kepakaran serta keupayaan operasi penembak tepat.
  • Anggota tentera Brunei dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut menyertai, menunjukkan peluang penyertaan antaragensi.
  • Anugerah Penembak Terbaik kepada Leftenan Mohammad Ayyub Johari; Prebet Qasri Albari Ismail dinobatkan Penuntut Keseluruhan Terbaik.

Kesemua mereka mengikuti Kursus Penyelia Sniper Gerak Khas Siri 1/2026 dan Kursus Ahli Sniper Gerak Khas Siri 1/2026, anjuran Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Tentera Darat.

Komandan PULPAK, Kolonel Nordin Abu berkata, latihan itu bertujuan memperkukuh kepakaran dan keupayaan operasi penembak tepat pasukan keselamatan negara.

“Untuk kali ini, kita bernasib baik kerana anggota tentera Brunei dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut hadir menyertai kursus asas penembak tepat (sniper) yang kita anjurkan.

“Kursus ini dibuka kepada agensi yang memerlukan latihan berkenaan, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya membuka peluang penyertaan kepada agensi berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, Langkawi dipilih kerana kedudukan geografi serta kepelbagaian bentuk muka buminya yang mampu menguji keupayaan peserta dalam keadaan lebih realistik.

Kemudahan di LISRAM turut membolehkan peserta mengaplikasikan kemahiran dipelajari, selain menguji konsistensi dan ketepatan tembakan jarak jauh.

Latihan kali ini turut diperkasakan dengan elemen ‘area sniping’, bagi meningkatkan keupayaan peserta menghadapi pelbagai senario operasi.

Dalam majlis sama, Leftenan Mohammad Ayyub Johari dari 11 Rejimen Gerak Khas dinobatkan Penembak Terbaik Kursus Ahli Sniper, manakala Prebet Qasri Albari Ismail dari Rejimen 22 Komando meraih anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.