
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkukuh sebagai agenda nasional bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
- Kerjasama kerajaan, industri dan institusi latihan bagi memastikan ekosistem TVET kekal relevan seiring perkembangan teknologi.
- MTVET Bil 2/2026 meneliti agenda strategik, pemerkasaan TVET Pertanian, cabaran kebolehpasaran graduan dan cadangan bawa ke Jemaah Menteri.
- Pelan TVET Pembinaan CIDB 2026-2030 menekankan tadbir urus, transformasi digital, laluan kerjaya dan kerjasama strategik industri.
- Sambutan Hari TVET Negara 5-7 Jun 2026 di Dataran Putrajaya tema 'TVET Pilihan Utama Kerjaya' dengan pameran, karnival kerjaya dan seminar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi latihan bagi memastikan ekosistem TVET negara kekal relevan serta seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Perkara itu antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 2/2026 yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut meneliti pelbagai agenda strategik bagi memperkukuh ekosistem TVET negara, khususnya dalam sektor utama yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi.
Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju pemerkasaan TVET Pertanian bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara.
“Mesyuarat turut memberi perhatian kepada isu pembangunan bakat dalam sektor agromakanan susulan cabaran yang dikenal pasti dalam bidang TVET Pertanian, termasuk aspek kebolehpasaran graduan, pekerjaan berkemahiran tinggi serta ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan kemahiran.
“Dapatan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pembangunan bakat bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing sektor berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut mencadangkan perkara tersebut dibawa ke perhatian Jemaah Menteri menerusi penyediaan Memorandum Jemaah Menteri bagi membolehkan keputusan dasar dipertimbangkan kerajaan.
Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum Pelan Pelaksanaan TVET Pembinaan CIDB Malaysia 2026-2030 yang dirangka bagi memperkukuh peranan CIDB sebagai peneraju TVET Pembinaan negara.
Beliau berkata, pelan itu memberi fokus kepada transformasi ekosistem latihan pembinaan melalui pengukuhan tadbir urus, pemacuan transformasi digital, pemantapan laluan kerjaya serta pengukuhan kerjasama strategik bersama industri.
“Melalui pelaksanaan pelan ini, sektor pembinaan akan diperkasa dengan pembangunan tenaga kerja yang lebih kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi termasuk pendigitalan, automasi dan inovasi dalam industri pembinaan.
“Inisiatif ini juga menyokong keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir tempatan serta memperkukuh daya saing sektor pembinaan negara di peringkat serantau dan global,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mesyuarat turut mengambil maklum persediaan Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Jun ini di Dataran Putrajaya dengan tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”.
Program itu, dijangka menghimpunkan lebih 500,000 pengunjung menerusi pelbagai program termasuk pameran TVET dan industri, karnival kerjaya, seminar antarabangsa, pertandingan kemahiran serta forum industri.