
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Selepas 69 tahun berdepan ketidaksamarataan dalam isu kerakyatan, golongan wanita warga Malaysia akhirnya memperoleh hak yang sama rata untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka.
- Wanita warga Malaysia kini boleh mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara secara automatik mulai Jun.
- Pindaan Perlembagaan mengenai kewarganegaraan diluluskan Parlimen 2024 dengan sokongan lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
- Pindaan menghapuskan ketidaksamarataan 69 tahun dan menyelaraskan hak wanita mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Hak itu melibatkan anak yang dilahirkan di luar negara, yang kini layak memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perubahan itu berkuat kuasa bulan ini susulan pindaan Perlembagaan yang diluluskan Parlimen pada 2024.
Katanya, sebelum ini anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak memperoleh hak kewarganegaraan.
Sebaliknya, kemudahan itu hanya dinikmati oleh anak yang dilahirkan di luar negara jika bapanya seorang warganegara.
“Ini adalah antara keutamaan saya dalam mengusahakan pindaan Perlembagaan sejak 2023.
“Alhamdulillah, pindaan ini telah diluluskan di Parlimen dan dikuatkuasakan pada Jun tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut memuat naik sebuah video berdurasi 1 minit lebih yang memaparkan luahan seorang kanak-kanak yang mahu bersekolah di negara ini.
Pindaan Perlembagaan utama yang melibatkan wanita sejak tahun 2023 adalah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai kewarganegaraan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober 2024.
RUU Pindaan berkaitan kewarganegaraan itu menerima sokongan lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Pindaan itu menghapuskan ketidakselarasan antara lelaki dan wanita selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin prinsip kesamarataan.