
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Usahawan Perusahaan Kecil (PKS) tempatan berpotensi menerima pembiayaan sehingga RM5 juta bagi membantu mereka melangkah ke Bursa Malaysia menerusi program PKS@BURSA menjelang 2030.
- Sasaran sekurang-kurangnya 200 PMKS disenaraikan di Bursa dalam tempoh lima tahun.
- PKS@BURSA sebagai platform komprehensif memperkukuh tadbir urus korporat dan meningkatkan kredibiliti syarikat tempatan.
- Peruntukan dana RM50 juta untuk mempersiap dan membimbing kira-kira 200 syarikat berpotensi tinggi.
- Insentif termasuk pembiayaan kompetitif, rebat khas 20 peratus bagi yang berjaya disenaraikan serta kerjasama dengan CGC dan agensi berkaitan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata program itu menyasarkan sekurang-kurangnya 200 PKS tempatan disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata program PKS@BURSA bukan sekadar inisiatif pembiayaan, sebaliknya platform komprehensif untuk memperkukuh urus tadbir korporat serta meningkatkan kredibiliti syarikat tempatan di pasaran modal.
“Langkah strategik ini disokong menerusi peruntukan dana RM50 juta dari tahun ini hingga 2030, dengan sasaran mempersiap dan membimbing kira-kira 200 syarikat PMKS berpotensi tinggi.
“Setiap syarikat yang layak boleh memperoleh pembiayaan antara RM1 juta hingga RM5 juta dengan kadar keuntungan kompetitif sekitar lima peratus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Road To IPO di Sasana Kijang, hari ini.
Tambah beliau, syarikat yang berjaya disenaraikan dalam tempoh lima tahun ditetapkan turut layak menerima rebat khas sebanyak 20 peratus sebagai insentif tambahan.
Katanya, program yang mula dilaksanakan pada penghujung Mei lalu itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti bagi membantu PKS mengukuhkan struktur pengurusan dan tadbir urus korporat.
Menurutnya lagi, kerjasama strategik bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC), Bursa Malaysia dan agensi berkaitan akan terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai usahawan tempatan bersedia menembusi pasaran modal.