Serangan dron Lapangan Terbang Kuwait: Rakyat Malaysia disahkan selamat

Keadaan di dalam Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait yang mengalami kerosakan selepas diserang dron dan peluru berpandu/FOTO X/@_A_khalifa

PUTRAJAYA, 4 Jun – Susulan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait awal pagi semalam, Wisma Putra mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu berada dalam keadaan selamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra memantau rapat perkembangan situasi melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait.
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait ditutup sementara dan semua penerbangan komersial digantung.
  • Penerbangan yang tiba kini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.
  • Rakyat terjejas disarankan hubungi syarikat penerbangan, daftar di e-Konsular dan patuhi arahan keselamatan pihak berkuasa.

Menurut kementerian itu, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan situasi susulan serangan tersebut melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait telah ditutup sementara dan semua penerbangan komersial digantung sehingga diberitahu kelak.

“Penerbangan yang tiba kini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan itu dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan penerbangan alternatif atau penjadualan semula perjalanan.

“Mereka yang menetap atau berada di rantau berkenaan turut digesa supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi semua arahan keselamatan, sekatan pergerakan dan arahan kecemasan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” tambah kenyataan itu.

Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang belum mendaftarkan keberadaan mereka di luar negara supaya berbuat demikian melalui portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan sekiranya diperlukan.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.