
BIDOR, 1 Jun- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang, Jaslinda Saludin diteruskan hari ini dengan lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, diterbangkan terus ke sektor pencarian di Gunung Batu Putih.
- Keseluruhan 24 anggota penyelamat dibawa masuk ke sektor pencarian menggunakan pesawat Mi-17 JBPM.
- Pasukan turut melibatkan anggota STORM JBPM dan Jabatan Perhutanan beserta malim gunung.
- Penglibatan PGA memperkukuh aspek keselamatan dan pencarian bersepadu selepas ditemui kesan haiwan liar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mereka digerakkan bersama lapan anggota STORM JBPM dan lapan anggota Jabatan Perhutanan termasuk malim gunung.
Keseluruhan 24 anggota penyelamat dibawa masuk ke sektor pencarian pagi tadi menggunakan pesawat Mi-17 JBPM.
“Alhamdulillah dengan kerjasama baik dengan Batalion 3, kita membawa lapan anggota PGA menaiki pesawat untuk turun ke sektor pencarian.
“Ia akan memudahkan pasukan penyelamat untuk sampai ke lokasi pencarian. Sebelum ini, mereka telah masuk beramai melalui Gunung Batu Bujang di Pos Kuala Woh sehingga ke Batu Putih. Kali ini terus ke kawasan sektor pencarian dengan pasukan PGA,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Kawalan Hadapan SAR di Pasukan Gerakan Am Batalion 3 Bidor.
Penglibatan PGA turut membantu aspek keselamatan operasi dan pencarian bersepadu susulan penemuan kesan haiwan liar di kawasan pencarian.