
WASHINGTON, 1 Jun – Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino, percaya kemenangan 3-2 ke atas Senegal dalam aksi persahabatan baru-baru ini mampu mengembalikan kepercayaan peminat tempatan terhadap skuad berkenaan menjelang kempen Piala Dunia yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.
- AS sebagai tuan rumah bersama dijangka mara jauh berkat barisan bintang seperti Christian Pulisic.
- Kekalahan berturut menentang Belgium dan Portugal menjejaskan keyakinan penyokong serta rekod menentang pasukan elit.
- Kemenangan ke atas Senegal dianggap tonik terbaik untuk memulihkan sokongan penyokong dan persekitaran.
- Christian Pulisic menamatkan kemarau gol dengan satu gol dan satu bantuan sebelum ditukar.
AS yang menggalas tanggungjawab sebagai penganjur bersama kejohanan berprestij itu bersama Kanada dan Mexico, diletakkan harapan tinggi untuk mara lebih jauh dalam saingan kalah mati menerusi gandingan barisan bintang mereka termasuk Christian Pulisic.
Harapan penyokong berkenaan sebelum ini agak terjejas ekoran kekalahan berturut-turut dalam aksi persahabatan menentang Belgium dan Portugal, selain rekod buruk skuad bimbingan Pochettino itu apabila berhadapan dengan pasukan elit dunia.
Bagaimanapun, kemenangan ke atas Senegal, yang juga naib juara Piala Negara Afrika, disifatkan sebagai tonik terbaik buat penyokong serta skuad kendalian pengendali kelahiran Argentina itu.
Kemenangan tersebut merupakan kemenangan kedua Pochettino ke atas pasukan kelompok 15 terbaik dunia sejak membimbing AS, selepas menewaskan Uruguay pada November tahun lepas.
“Sentimen positif daripada kemenangan ini adalah lebih penting untuk persekitaran (penyokong dan media) berbanding kami sendiri.
“Bagi kami, kemenangan adalah perkara utama. Namun, ia juga penting untuk membina semula kepercayaan penyokong selepas dua perlawanan terdahulu (menentang Belgium dan Portugal),” kata bekas pengurus Tottenham Hotspur, Chelsea, dan Paris Saint-Germain itu.
Dalam perlawanan tersebut, kapten pasukan, Christian Pulisic, menamatkan kemarau golnya tahun ini dengan meledak satu gol dan melakukan satu bantuan jaringan pada babak pertama sebelum dikeluarkan.
Pochettino turut memuji impak pemain sayap, Sergino Dest, yang menjaringkan gol sejurus pulih daripada kecederaan, serta penyerang pilihan utama, Folarin Balogun, yang meledak gol ketiga selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
AS bakal berdepan cabaran getir dalam Kumpulan D Piala Dunia menentang Paraguay, Australia, dan Turki, dengan kejohanan dijadualkan membuka tirai pada 11 Jun ini.
Sebelum memulakan kempen rasmi, skuad bimbingan Pochettino akan mengharungi satu lagi aksi ujian berprofil tinggi menentang juara dunia empat kali, Jerman, di Chicago pada Sabtu ini. – AFP