
BATU BERENDAM, 12 September – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Putat yang kini hampir 50 peratus siap mula menunjukkan kesan positif apabila kejadian banjir di kawasan berkenaan dilaporkan berkurangan.
- Kejadian banjir di kawasan Sungai Putat berkurangan sepanjang tahun lepas, menurut Ahli Parlimen Adam Adli.
- Walaupun projek belum selesai, manfaat seperti pengurangan impak banjir mula dirasai penduduk.
- Isu pembinaan di atas tanah persendirian yang menjejaskan pelaksanaan berjaya diselesaikan.
- RTB Sungai Putat termasuk antara lapan projek RTB negeri, dengan nilai keseluruhan RM1.456 bilion.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi beberapa kejadian banjir yang berlaku sejak setahun kebelakangan ini.
“Macam kita tengok dalam beberapa suasana banjir baru-baru ini dalam setahun, Alhamdulillah ada dampak yang sangat kurang, impak yang baik dan boleh lihat sangat kurang kejadian banjir terutama untuk Sungai Putat.
“Ertinya, walaupun progres baru 50 peratus tapi hasilnya boleh mula untuk kita dapat manfaat sekarang”, katanya demikian selepas merasmikan program penutup Kampung Angkat MADANI @ Kampung Sungai Putat di sini.
Beliau berkata beberapa masalah berkaitan pembinaan di atas tanah persendirian yang sebelum ini menjejaskan pelaksanaan projek turut berjaya diselesaikan.
Katanya, perkembangan itu membolehkan projek berkenaan diteruskan mengikut perancangan bagi memperkukuh sistem tebatan banjir di kawasan Sungai Putat.
RTB Sungai Putat merupakan antara lapan projek RTB yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka sebagai langkah memperkukuh pelan mitigasi banjir di negeri itu.
Kesemua lapan projek berkenaan melibatkan nilai keseluruhan RM1.4 bilion.