Berat hati lepaskan Marina, Teo hargai jasa ADUN Skudai

Foto Facebook Marina Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Mei – DAP Johor menerima keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang selain berundur daripada arena politik dengan perasaan berat hati.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teo menghargai jasa, khidmat bakti dan komitmen Marina sepanjang penglibatan beliau dalam parti dan khidmat kepada rakyat
  • Pencalonan Marina pada 2022 dirancang untuk satu penggal supaya beliau membina rekod dan reputasi sebagai wakil rakyat berwibawa
  • Teo mencadangkan jawatan pengerusi badan berkanun supaya Marina terus menyumbang dan memohon maaf jika perbincangan strategi mengguris hati beliau

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menerusi hantaran Facebook memaklumkan, pihaknya menghargai segala jasa, khidmat bakti dan komitmen Marina sepanjang penglibatannya dalam parti serta khidmat kepada rakyat.

Ketika Marina ditawarkan sebagai calon DAP bagi kerusi DUN Skudai pada 2022, kepimpinan parti menjelaskan, pencalonan itu dirancang untuk satu penggal sahaja.

“Pelan strategik parti adalah untuk membolehkan beliau terlebih dahulu membina rekod dan reputasi sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa.

“Selepas itu, parti memerlukan pemimpin muda yang berkebolehan seperti beliau untuk membantu memperluaskan khidmat bakti DAP ke kawasan-kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi,” menurut hantaran itu.

Marina menyertai parti sebagai ahli Cawangan DAP Indahpura pada 2017 dan sehingga kini menjadi pengerusi cawangan.

Melihat potensi kepimpinan serta minat mendalam untuk khidmat kepada masyarakat, Teo bersama ADUN Senai ketika itu, Alan Tee Boon Tsong melantik beliau sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pada 2018.

Mengulas lanjut, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menyatakan, menjelang PRN Johor akan datang, kepimpinan parti melihat Marina sebagai calon paling berpotensi untuk bertanding di sebuah kerusi bandar yang pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Langkah itu selaras dengan strategi DAP untuk memperluaskan pengaruh parti ke kawasan di luar kubu tradisinya.

“Pada asasnya, kepimpinan parti berpandangan Marina mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP dalam usaha memperluaskan pengaruh parti.

“Perkara ini telah dijelaskan secara terperinci kepada beliau. Bagi menunjukkan parti akan terus bersamanya tanpa mengira keputusan PRN Johor kelak, saya turut berkongsi hasrat untuk mencadangkan beliau sebagai Pengerusi sebuah badan berkanun.

“Saya percaya platform tersebut mampu menjadi ruang untuk beliau terus menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat dan negara,” tambah hantaran itu.

Pada masa sama, Teo turut menzahirkan kekesalan sekiranya perbincangan berkaitan strategi pilihan raya negeri itu telah menimbulkan rasa kurang senang kepada Marina.

“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” menurut hantaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.