Lebih 400,000 pendidik manfaat Program Baucar Buku Guru MADANI

Adibah Omar

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Lebih 400,000 guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan memanfaatkan Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 dalam memperkukuh budaya ilmu serta menyokong pembangunan profesionalisme melalui akses kepada bahan bacaan berkualiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • BookCapital.my memperluas akses bahan bacaan dan memudahkan penebusan baucar secara digital.
  • Pendigitalan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan serta membolehkan rakaman dan analisis data.
  • Kajian menunjukkan majoriti penerima menyokong penerusan program dan berpuas hati dengan pelaksanaan.
  • Program memupuk minat membaca, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan pengetahuan profesional guru.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, sebagai pemudah cara, platform penebusan digital, BookCapital.my memperluas akses guru kepada pelbagai bahan bacaan dan sumber ilmu.

“Pendigitalan proses penebusan baucar ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan program, malah membolehkan data direkod serta dianalisis secara lebih menyeluruh, termasuk corak pembelian dan pilihan bahan bacaan oleh guru.

“Maklumat ini penting untuk menilai impak program serta membantu kerajaan merancang dasar yang lebih berkesan berasaskan data. Berbanding penggunaan baucar fizikal, pendekatan digital memberikan keterlihatan data yang lebih tepat, lengkap dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kajian impak program itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara hari ini.

Menerusi dapatan bersama IDE Research Centre melibatkan 1,794 responden, 92 peratus menyatakan pemberian baucar buku ini perlu diteruskan disokong dengan penambahbaikan. Manakala 82.2 peratus penerima berpuas hati dengan pelaksanaan program itu.

Sebanyak 87.5 peratus responden berpandangan program itu berjaya memupuk minat membaca, manakala 63.2 peratus menggunakan baucar yang diterima untuk meningkatkan pengetahuan profesional.

Program yang menawarkan baucar pembelian buku kepada guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan itu, bukan sahaja meningkatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti, malah menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.