
PARIS, 15 September – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat mengenai kecerdasan buatan (AI) minggu depan susulan kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap ancaman teknologi yang berkembang pesat itu.
- Isu AI akan diberi perhatian dari dua aspek utama: ancaman terhadap keselamatan global dan risiko kepada kanak-kanak.
- Ketua syarikat teknologi menggesa peraturan lebih ketat, walaupun Presiden AS menolak dakwaan AI sebagai ancaman.
- Isu AI dibincangkan semasa Perhimpunan Agung PBB bersama perbincangan mengenai Gaza, Lubnan dan Ukraine; Perancis menekankan multilateralisme.
Sumber diplomatik Perancis berkata mesyuarat berkenaan akan berlangsung ketika Perhimpunan Agung PBB diadakan di New York, yang menghimpunkan pemimpin dunia, dengan Perancis ketika ini memegang jawatan presiden secara bergilir Majlis Keselamatan PBB.
Tarikh tepat mesyuarat itu bagaimanapun belum ditetapkan.
Menurut sumber berkenaan, isu AI akan diberi perhatian menerusi dua aspek utama, iaitu ancaman terhadap keselamatan global serta risiko teknologi itu kepada kanak-kanak.
“Dari sudut hal ehwal global, isu AI akan menjadi agenda yang sangat penting melalui dua sudut berbeza,” katanya kepada pemberita, sambil menekankan ancaman kewujudan yang ditimbulkan AI terhadap keselamatan global.
Sumber itu turut berkata terdapat kebimbangan besar mengenai kesan AI terhadap kanak-kanak.
Keselamatan AI menjadi perhatian dunia dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk apabila beberapa ketua syarikat teknologi AI sendiri menggesa peraturan lebih ketat bagi memperlahankan pembangunan teknologi berkenaan.
Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin menolak dakwaan bahawa AI mengancam manusia, dengan menyifatkannya sebagai penipuan dan konspirasi yang tidak sihat.
Sumber diplomatik itu berkata isu di Gaza, Lubnan dan Ukraine turut menjadi antara perkara utama yang akan dibincangkan pada Perhimpunan Agung PBB.
Perancis, yang memegang jawatan presiden Majlis Keselamatan PBB bulan ini serta jawatan presiden G7 ketika ini, dijangka terus memperjuangkan multilateralisme ketika institusi antarabangsa berdepan tekanan yang semakin meningkat. – AFP