
PARIS, 31 Mei- Seramai 416 individu ditahan di seluruh Perancis termasuk 283 di Paris selepas tercetus rusuhan ketika ribuan penyokong meraikan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, awal pagi tadi.
- Rusuhan tercetus semasa sambutan kemenangan PSG apabila sebahagian penyokong bertindak agresif, membaling objek dan menyalakan mercun.
- Tujuh anggota polis cedera, manakala beberapa kenderaan dan dua premis perniagaan mengalami kerosakan.
- Pihak berkuasa mengerahkan 22,000 anggota polis di seluruh Perancis termasuk 8,000 di Paris untuk kawal keadaan.
- PSG dijadual buat perarakan kemenangan di Champs-de-Mars dan akan diraikan Presiden Emmanuel Macron di Istana Elysee.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez berkata tujuh anggota polis cedera dalam insiden berkenaan, manakala enam kenderaan dan dua premis perniagaan mengalami kerosakan.
“Perbuatan seperti ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Menurut polis, kira-kira 20,000 penyokong berhimpun di Champs-Elysees bagi meraikan kemenangan PSG, namun sebahagian mereka bertindak agresif dengan membaling objek dan menyalakan mercun.
Pihak berkuasa mengerahkan 22,000 anggota polis di seluruh negara termasuk 8,000 di Paris untuk mengawal keadaan.
Nunez berkata langkah keselamatan yang dilaksanakan adalah mencukupi bagi memastikan sambutan berlangsung dalam keadaan terkawal.
“Kami mempunyai sistem kawalan yang sangat kukuh dan mantap. Tanggungjawab kami adalah memastikan semua pihak dapat meraikan kemenangan ini dalam suasana yang meriah, tenang dan selamat sepenuhnya,” katanya.
Pasukan PSG dijadual menyertai perarakan kemenangan di Champs-de-Mars berhampiran Menara Eiffel pada Ahad sebelum diraikan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Elysee.
Terdahulu, PSG mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA selepas menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti 4-3 dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik di Puskas Arena, Budapest. -AFP