
PENAMPANG, 30 Mei – Kerajaan melaksanakan langkah penjimatan lebih ketat melibatkan perbelanjaan kementerian dan menteri bagi memastikan sumber kewangan negara dapat disalurkan kepada program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
- Arahan kepada semua kementerian kurangkan perbelanjaan tidak kritikal; sektor pendidikan, kesihatan dan keperluan asas tidak terjejas.
- Hadkan lawatan kerja menteri ke luar negara dan batalkan lawatan yang tidak mendesak.
- Pemotongan peruntukan tertumpu kepada perbelanjaan lain selain sektor utama, kecuali mesyuarat ASEAN dan APEC rasmi.
- Hasil penjimatan sekitar RM15.5 bilion disalurkan semula kepada bantuan pendidikan, kebajikan dan projek pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua kementerian diarahkan mengurangkan perbelanjaan yang tidak kritikal, kecuali bagi sektor utama seperti pendidikan, kesihatan dan keperluan asas rakyat.
Langkah yang diambil termasuk mengehadkan lawatan kerja menteri ke luar negara selain membatalkan lawatan yang tidak mempunyai keperluan mendesak.
“Semalam, saya mengumumkan bahawa peruntukan bagi semua kementerian perlu dikurangkan. Bagaimanapun, pemotongan itu tidak melibatkan sektor pendidikan, kesihatan dan keperluan asas rakyat.
“Sebaliknya, ia tertumpu kepada perbelanjaan lain, khususnya lawatan ke luar negara. Malah, lawatan luar negara melibatkan menteri Persekutuan juga dihadkan, kecuali bagi urusan rasmi yang wajib seperti mesyuarat ASEAN atau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang telah ditetapkan dalam jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.
Amalan berjimat cermat perlu dilaksanakan di semua peringkat pentadbiran kerajaan, termasuk dalam aspek penganjuran program dan perbelanjaan operasi.
Menurut Perdana Menteri, hasil langkah rasionalisasi dan penjimatan yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini berjaya menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Penjimatan tersebut disalurkan semula kepada pelbagai inisiatif rakyat termasuk bantuan pendidikan, program kebajikan dan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.