Agrobank lancar Agro Korban-i, simpanan ibadah korban serendah RM20

Foto RTM

TANJUNG KARANG, 28 Mei -Agrobank memperkenalkan Akaun Simpanan Agro Korban-i bagi membantu masyarakat Islam membuat perancangan kewangan lebih awal melaksanakan ibadah korban secara lebih terancang dan patuh Syariah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membantu pelanggan membina tabungan konsisten bagi merealisasikan hasrat menunaikan ibadah korban.
  • Deposit permulaan serendah RM20 memudahkan simpanan secara berperingkat.
  • Sasaran menyediakan sebanyak 5,000 bahagian korban untuk tahun hadapan.
  • Pengagihan memberi keutamaan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, produk simpanan itu dapat membantu pelanggan membina tabungan secara konsisten dalam merealisasikan hasrat menunaikan ibadah korban dapat dicapai dengan lebih mudah.

“Pelanggan tidak perlu menyediakan jumlah yang besar sekali gus untuk melaksanakan ibadah korban. Mereka boleh memulakan simpanan dengan deposit serendah RM20 sahaja.

Ia memupuk amalan menabung secara berperingkat ke arah matlamat melaksanakan ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan. Tahun ini, kita menyasarkan sebanyak 5,000 bahagian korban untuk tahun hadapan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis pelancaran Akaun Simpanan Agro Korban-I di sini, hari ini.

Tambah beliau, pengagihan daging korban itu juga akan memberi keutamaan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan serta tidak berkemampuan.

Menurutnya, produk simpanan itu bukan membantu umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan penuh keikhlasan dan serba kemampuan, malah dapat memupuk umat Islam merancang kewangan dengan lebih baik.

“Agrobank akan menyediakan produk yang dekat dengan keperluan pelanggan, memberi ruang kepada komuniti untuk membuat persediaan awal secara lebih mudah dan patuh Syariah, khususnya dalam konteks pelaksanaan ibadah korban,” katanya.

Jelas beliau, inisiatif itu diharap dapat membantu pelanggan merancang kewangan dengan lebih baik selain memperkukuhkan nilai keprihatinan sosial serta memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga serta masyarakat.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.