Lebih 200,000 kenderaan dijangka masuk Melaka sepanjang cuti Aidiladha, sekolah

Exco kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin/ RTM

SUNGAI UDANG, 27 Mei – Kerajaan Negeri Melaka menjangkakan lebih 200,000 kenderaan akan memasuki negeri tersebut bersempena musim cuti persekolahan dan cuti panjang perayaan Aidiladha.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBT dan agensi berkaitan diminta bersedia menerima pelancong serta pengunjung luar.
  • Kesiapsiagaan rapi penting bagi memastikan kelancaran pengurusan trafik, kebersihan dan jaminan keselamatan.
  • Beliau optimis jentera kerajaan negeri berada dalam fasa terbaik untuk menyambut pelancong.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin berkata, semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan telah diminta bersedia bagi menerima kehadiran pelancong serta pengunjung luar.

Menurut beliau, langkah kesiapsiagaan yang rapi amat penting bagi memastikan kelancaran aspek pengurusan trafik, tahap kebersihan persekitaran, serta jaminan keselamatan sepanjang tempoh cuti berkenaan.

“Kita menjangkakan dalam keadaan cuti sekolah berserta cuti panjang ini, lebih 200,000 kenderaan akan masuk ke Melaka.

“Jadi, kita berharap dalam keadaan orang ramai ingin bergembira, semua pihak terutamanya PBT dan pihak berkuasa akan bersedia untuk menjadi tuan rumah yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri solat sunat Aidiladha bersama masyarakat setempat di Masjid As Syuhada, Kem Terendak, di sini hari ini.

Rais turut menambah bahawa beliau optimis dan percaya seluruh jentera kerajaan negeri kini berada dalam fasa terbaik untuk menyambut kedatangan para pelancong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.