
KUALA TERENGGANU, 27 Mei – Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 1,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.
- Pemangku Raja berangkat ditemani Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra'.
- Disambut Menteri Besar Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
- Solat diimamkan Mufti Terengganu Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar; khutbah bertajuk "Menghayati Erti Pengorbanan".
- Tengku Mahkota Kelantan turut berangkat solat di Masjid Jamek Al Ismaili Tumpat, diiringi barisan kepimpinan negeri, lalu menziarahi Makam D'Raja Langgar.
Keberangkatan tiba baginda pada pukul 7.50 pagi itu diiringi adinda baginda, Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Mufti Terengganu Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar, yang kemudiannya turut menyampaikan Khutbah Aidiladha bertajuk “Menghayati Erti Pengorbanan”.
Selesai menunaikan solat, Tengku Muhammad Ismail meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah yang hadir.
Sebelum berangkat pulang, baginda turut berkenan menziarahi Makam Diraja yang terletak di pekarangan masjid berkenaan.

Sementara itu di Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Al Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan, di Tumpat.
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan barisan kepimpinan negeri.
Solat sunat Aidiladha diimamkan Imam Besar Negeri Kelantan, Dr Muhamad Hana Pizi Abdullah manakala khutbah disampaikan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Usai solat, Tengku Muhammad Fakhry kemudian berangkat menziarahi Makam D’Raja Langgar di Kota Bharu.