Arab Saudi bedil lapangan terbang Mocha yang dikawal Houthi

Dua serangan udara menyasarkan kemudahan itu pada Jumaat

DUBAI, 11 September – Arab Saudi dilapor melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang di bandar pelabuhan strategik Mocha, yang kini bawah kawalan kumpulan Houthi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang Mocha yang kini dikawal kumpulan Houthi.
  • Houthi merampas bandar pelabuhan Mocha, sebuah pulau strategik dan menguasai kawasan daratan sepanjang Selat Bab al-Mandab.
  • Kawalan Houthi menjejaskan laluan transit antara Asia dan Eropah melalui Laut Merah serta Terusan Suez, walaupun mereka menafikan ancaman pelayaran.

“Pihak musuh melancarkan dua serangan ke atas lapangan terbang Mocha,” menurut saluran televisyen kumpulan yang disokong Iran itu, Al-Masirah TV.

Houthi merampas kawalan terhadap bandar pelabuhan Laut Merah itu pada Khamis, selepas melancarkan serangan besar-besaran ke atas pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi di sekitar Selat Bab al-Mandab.

Seorang pegawai kerajaan tempatan kemudian memaklumkan bahawa enam peluru berpandu menyasarkan pelabuhan Mocha, namun beliau tidak menjelaskan lokasi peluru berpandu itu dilancarkan.

Houthi pada Jumaat turut merampas sebuah pulau strategik dan dilihat menguasai kawasan daratan di sepanjang bahagian Yaman di Selat Bab al-Mandab, sekali gus mengukuhkan penguasaan mereka ke atas laluan penting bagi eksport minyak Arab Saudi.

Hazem al-Assad daripada biro politik Houthi memberitahu portal berita Al-Araby al-Jadeed pada Jumaat bahawa tiada sebab untuk masyarakat antarabangsa berasa bimbang mengenai kebebasan pelayaran melalui selat berkenaan.

Laluan perairan itu yang menghubungkan Asia dengan Eropah melalui Laut Merah dan Terusan Suez semakin penting sebagai laluan transit, sejak tercetusnya perang lebih meluas di Asia Barat yang menyaksikan Iran menyekat Selat Hormuz. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.