Ugutan jenayah: Polis rakam keterangan Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar (dua kanan) ketika sidang media di IPD Kajang – Foto BERNAMA

KAJANG, 26 Mei – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan polis dibuat pada 13 Mei berhubung dakwaan ugutan jenayah.
  • Keterangan dirakam daripada Albert Tei dan peguamnya yang didakwa menjadi perantara.
  • Tei mendakwa menerima ancaman ketika cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah melibatkan ahli politik Sabah.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 506; kertas siasatan hampir lengkap dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh lelaki terbabit pada 13 Mei lepas.

Beliau berkata, setakat ini dua individu sudah dirakam keterangan iaitu Tei sendiri serta peguamnya yang didakwa menjadi perantara dalam penyampaian ugutan berkenaan.

“Keterangan Tei telah diambil pada minggu sama laporan polis dibuat, manakala keterangan peguamnya dirakam semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan siasatan awal mendapati ahli perniagaan itu mendakwa menerima ancaman serta ugutan daripada Tan Sri Azam ketika beliau cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.

Datuk Kumar berkata, proses siasatan masih diteruskan secara telus dan polis memerlukan sedikit masa untuk melengkapkannya sebelum sebarang rumusan dibuat.

“Susulan itu, kita dijangka akan memanggil Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu kini di peringkat akhir untuk dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negar dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.