
SARATOK, 26 Mei – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun selepas dipercayai mendatangkan kecederaan terhadap adik kandungnya dalam satu kejadian di sebuah kilang sawit di Sessang, Kabong, Ahad lalu.
- Mangsa, seorang kerani kilang berusia 25 tahun, membuat laporan polis mendakwa dipukul oleh suspek di tempat kerja.
- Suspek didakwa menampar, menendang serta menolak mangsa ke dinding selepas marah panggilan tidak dijawab.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang merupakan seorang kerani kilang berusia 25 tahun tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul oleh suspek di tempat kerjanya.
Beliau menjelaskan bahawa insiden tersebut dipercayai berpunca daripada perasaan berang suspek apabila mangsa tidak menjawab panggilan telefonnya.
“Suspek didakwa bertindak agresif dengan menampar, menendang serta menolak mangsa ke dinding di kawasan kaunter timbang kilang sawit berkenaan,” katanya.
Bertindak atas laporan dan maklumat, sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjaya memberkas suspek di kawasan Taman Permainan Tanjung Kembang, Kabong pada hari yang sama.
Mathew berkata, kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, yang dibaca bersama Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.