Permintaan domestik stabil pacu prestasi perdagangan negara lepasi RM1 trilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 MeiPrestasi perdagangan Malaysia yang melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini membuktikan ketahanan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan domestik stabil dan pengukuhan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau serta global menyokong prestasi perdagangan.
  • Aktiviti tempahan awal, peningkatan permintaan luar dan penggunaan domestik memacu sektor eksport dan pembuatan.
  • Gangguan rantaian bekalan dijangka mula dirasai pada suku ketiga; sektor pembuatan dan teknologi antara paling terkesan.
  • Jika prestasi pembuatan dan teknologi menurun, ia boleh menjejaskan pertumbuhan KDNK dan menurunkan PMI di bawah paras 50.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pencapaian itu turut didorong oleh permintaan domestik yang stabil serta pengukuhan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global.

“Jika dilihat dari sudut prestasi perdagangan, ia berkait rapat dengan sektor eksport dan pembuatan. Sepanjang Januari hingga April, terdapat aktiviti tempahan awal pesanan serta peningkatan permintaan daripada negara luar terhadap produk tempatan, di samping peningkatan penggunaan domestik,” katanya kepada pemberita RTM.

Mengulas mengenai impak gangguan rantaian bekalan terhadap prestasi perdagangan pada separuh kedua 2026, katanya kesan tersebut dijangka mula dirasai pada suku ketiga, dengan sektor pembuatan dan teknologi menjadi antara yang paling terkesan.

“Sekiranya prestasi kedua-dua sektor itu kembali normal atau berada di bawah purata, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, malah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) juga berkemungkinan turun di bawah paras 50,” katanya lagi.

Jelas beliau, PMI ketika ini berada pada 51.8 disokong oleh faktor geopolitik dan gangguan bekalan, yang menyebabkan perdagangan kekal berada di atas paras purata.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga April 2026 meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion, sekali gus melepasi paras RM1 trilion lebih awal berbanding tahun sebelumnya.

Eksport bagi tempoh itu meningkat 19 peratus kepada RM609.31 bilion, manakala import naik 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion.

Dalam masa sama, lebihan dagangan turut melonjak dua kali ganda kepada RM91.92 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.