
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kedudukan Malaysia sebagai antara negara paling dipercayai di dunia memberi isyarat positif terhadap keyakinan rakyat dan pelabur kepada keutuhan institusi negara.
- Pencapaian tangga ketujuh dalam Edelman Trust Barometer 2026 mencerminkan kestabilan dan keupayaan pengurusan ekonomi negara.
- Tahap kepercayaan membantu pelabur asing menilai kekuatan institusi sebelum membuat keputusan pelaburan jangka panjang.
- Indikator ini memudahkan tarikan pelaburan jangka panjang seperti pembukaan kilang dan pengembangan perniagaan.
- Persepsi positif dari luar menggalakkan pemilik modal tempatan terus menyalurkan pelaburan ke pasaran domestik.
Pengerusi Institut Penyelidikan Khazana (KRI) Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, pencapaian Malaysia di tangga ketujuh global dalam Edelman Trust Barometer 2026 itu memperlihatkan kestabilan dan keupayaan negara dalam mengurus ekonomi.
Menurut beliau, tahap kepercayaan itu menunjukkan pelabur asing menilai kekuatan institusi sebelum membuat keputusan pelaburan jangka panjang, termasuk membuka kilang atau mengembangkan perniagaan di negara ini.
“Untuk mereka yang mahu masuk melabur dalam jangka panjang, 10 tahun, 15 tahun atau 20 tahun, mereka sudah tentunya membuat pilihan berdasarkan keyakinan terhadap keutuhan institusi.
“Petunjuk seperti ini baik untuk menarik pelaburan sedemikian. Pada masa sama, kita juga ada pelaburan dalam bentuk aliran modal,” katanya dalam Biz Malaysia di TV1.
Tambahnya, persepsi positif dari luar turut memberi gambaran kepada pemilik modal tempatan bahawa kedudukan Malaysia masih dinilai baik.
Ia sekali gus dapat mendorong pemilik modal tempatan untuk terus menyalurkan pelaburan ke dalam pasaran dan perniagaan di dalam negara.