Ejen hartanah mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh

Foto RTM

ALOR SETAR, 26 Mei– Seorang ejen hartanah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan cubaan membunuh seorang wanita yang juga ibu tunggal di Alor Setar, Kedah pada 17 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek lelaki, 32 tahun.
  • Dijangka dituduh di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
  • Mangsa wanita, 35 tahun, cedera di leher selepas dipercayai ditikam.
  • Mangsa dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam; suspek dibawa menaiki van polis.

Muhammad Ilhami Badaruddin, 32 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini a/p Nadarajan, pagi tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan suatu perbuatan cubaan membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35 tahun, dengan menggunakan pisau dengan mengetahui bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian kepada Nurul Husna.

Perbuatan tersebut dilakukan di kawasan tempat letak kereta Sheikh Bistro, Titi Gajah, Kepala Batas, Alor Setar pada pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Pertuduhan dibawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sekiranya perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana orang, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Peguam tertuduh memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sebelum sebutan semula kes kerana tertuduh mempunyai sejarah sakit mental selain beberapa masalah kesihatan lain dan ia juga selari dengan perintah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim kemudian mengarahkan tertuduh menjalani rawatan psikiatri di hospital berkenaan dan menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 35 tahun cedera dibahagian leher selepas dipercayai ditikam oleh suspek lelaki yang dikenalinya di dalam kereta milik mangsa di hadapan sebuah restoran di jalan Titi Gajah, Kepala Batas, Alor Setar.

Mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dipercayai ditikam dengan menggunakan senjata tajam dari bahagian kiri leher hingga menembusi sebelah kanan leher.

Suspek yang melarikan diri sejurus kejadian tersebut bagaimanapun berjaya diberkas di kawasan masjid Taman Uda, Alor Setar, dalam tempoh kurang lima jam selepas kejadian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.