JPJ Kedah sita MPV mewah, miliki saman tertunggak RM6,000

Foto ehsan JPJ Kedah

ALOR SETAR, 26 Mei – Cubaan seorang pengusaha lori melarikan diri bersama kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah miliknya gagal selepas tindakannya berjaya dikesan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, petang semalam (Isnin).

RINGKASAN BERITA AI
  • MPV mewah mempunyai lebih 20 saman AES tertunggak bernilai melebihi RM6,000 serta tiada LKM atau insurans sah.
  • Pemilik mendakwa saman baru dimasukkan sistem, tetapi JPJ tetap menyita kenderaan dan ambil tindakan di lokasi.
  • JPJ tegas: melarikan diri atau bersembunyi tidak akan menghalang penguatkuasaan demi keselamatan orang ramai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 petang itu, kenderaan mewah berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pusat perubatan berdekatan Wisma Darul Aman.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu lelaki berusia lewat 30-an itu bertindak memandu kenderaannya ke belakang sebuah bangunan di Mergong bagi mengelak daripada diperiksa.

Namun tindakan tersebut berjaya dihidu oleh anggota penguat kuasa.

“Hasil semakan lanjut mendapati MPV mewah terbabit mempunyai lebih 20 saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tertunggak bernilai melebihi RM6,000, selain tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang sah.

“Pemilik kenderaan memberi alasan kononnya rekod saman terbabit baru didaftarkan ke dalam sistem pada tahun ini.

Namun tindakan saman dan sita tetap diambil di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Stien menegaskan bahawa tindakan melarikan diri atau bersembunyi tidak akan menghalang pihak JPJ daripada melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang ketat demi keselamatan orang ramai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.