
SIBU, 26 Mei – Polis menahan seorang buruh ladang kelapa sawit warga asing dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 63.46 gram dalam satu serbuan di sebuah pondok di atas bukit Jalan Mukah-Selangau berhampiran laluan jejambat Selangau, pada Isnin.
- Polis menemui 22 keratan straw dan 25 paket plastik mengandungi kristal disyaki syabu, disembunyikan dalam beg silang hitam; nilai rampasan dianggarkan RM3,200.
- Suspek diuji positif dadah jenis methamphetamine menerusi saringan air kencing dan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a); juga dibuka siasatan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c).
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah bertindak menggempur lokasi berkenaan hasil risikan yang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Namun tindakan pantas polis berjaya memberkasnya di bahagian belakang pondok tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis menemui 22 keratan tiub straw dan 25 paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu yang disembunyikan di dalam sebuah beg silang berwarna hitam.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM3,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Muhamad Rizal, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Selain kesalahan dadah, polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berikutan kegagalan suspek mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Jun depan bagi membantu siasatan lanjut.