Bot penyelamat jatuh ke laut, tiga pekerja pelantar terkorban, seorang cedera parah

Jabatan Forensik HSNZ/RTM

KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi cedera parah, selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan, tengah hari semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ialah pekerja bahagian keselamatan yang sedang melakukan penyelenggaraan bot penyelamat di bawah platform.
  • Tali atau cangkuk yang memegang bot dipercayai tercabut, menyebabkan kesemua mangsa terjatuh bersama bot.
  • Pasukan penyelamat membawa mangsa naik ke platform, kemudian helikopter membawa mereka ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk rawatan.
  • Mayat dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat; kes disiasat sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijadualkan esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Beliau berkata seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, keempat-empat mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan. Kesemua mangsa ialah pekerja bahagian keselamatan pelantar, yang sedang membuat penyelenggaraan bot penyelamat.

“Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut, sebelum menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan penyelamat kemudiannya bertindak menyelamatkan mangsa dan membawa mereka naik semula ke platform sebelum kesemua mangsa diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada pukul 4 petang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata kesemua mangsa tiba di LTSM pada 5 petang sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan HSNZ.

“Bagaimanapun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dipercayai akibat patah tulang,” katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes setakat ini disiasat sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan pada 8.30 pagi esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.