Operasi SAR remaja lemas di Sungai Paka ditangguhkan

Foto RTM

DUNGUN, 24 Mei Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi remaja yang dikhuatiri lemas di Sungai Paka, Terengganu ditangguhkan sementara pada pukul 7.00 malam tadi, ekoran faktor cuaca dan keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi SAR dihentikan sementara kerana hujan lebat dan fenomena air pasang membahayakan penyelamat.
  • Pihak polis dan agensi meneruskan pemantauan berkala sepanjang tebing serta permukaan air pada waktu malam.
  • Pencarian disambung esok pagi dengan jejari pencarian diperluas daripada 500 meter persegi kepada satu kilometer persegi.
  • Mayat mangsa pertama ditemukan di dasar sungai petang tadi; usaha kini difokuskan mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden (DSP) Jumaidy Bah Chong Weh berkata operasi yang bermula sejak pukul 11.00 pagi itu terpaksa dihentikan sementara berikutan hujan lebat dan fenomena air pasang yang boleh membahayakan anggota penyelamat.

Bagaimanapun, pihak polis dan agensi terlibat tetap meneruskan pemantauan berkala di sepanjang tebing serta permukaan air pada sebelah malam.

Menurut beliau, operasi mencari mangsa kedua akan disambung semula pada pukul 8.00 pagi esok dengan memperluas radius kawasan pencarian daripada 500 meter persegi kepada satu kilometer persegi.

Operasi bersepadu berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak bomba, polis, serta bantuan daripada penduduk tempatan.

Terdahulu, dua beradik bersama dua rakan mereka dilaporkan pergi ke sungai berkenaan untuk mandi-manda pada pukul 11.00 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa kemudiannya bertindak terjun ke dalam sungai sebelum dipercayai hilang dibawa arus deras akibat air laut pasang.

Susulan tindakan pantas pasukan penyelamat, mayat mangsa pertama, Muhammad Amir Ashraf Mohd Zul Zunaidi, 15 tahun, berjaya ditemukan di dasar sungai pada pukul 3.50 petang.

Mayatnya ditemukan hanya sekitar lima meter dari lokasi asal tempat kedua-dua beradik itu dilaporkan terjun.

Usaha kini ditumpukan sepenuhnya bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.