JPN Kedah jamin siasatan telus kes murid dibuli di Kubang Pasu

Semua institusi pendidikan perlu perkukuh langkah pencegahan banteras gejala buli

KUBANG PASU, 24 Mei – Jabatan Pendidikan Negeri Kedah memberi jaminan siasatan secara telus dan terperinci akan dijalankan berhubung kes seorang murid yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di daerah ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN Kedah memandang serius kejadian dan sedang menyiasat untuk memastikan keadilan kepada mangsa.
  • Tindakan disiplin tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
  • Semua institusi pendidikan diingatkan memperkukuh langkah pencegahan dan tangani buli segera mengikut garis panduan kementerian.

Pengarah JPN Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut seperti yang dilaporkan media.

Menurut beliau, kes berkenaan kini sedang dalam siasatan pihak jabatan bagi memastikan keadilan kepada mangsa.

Beliau turut menegaskan tindakan disiplin tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

JPN Kedah turut mengingatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya supaya memperkukuh langkah pencegahan bagi membanteras gejala buli di sekolah.

Katanya, sebarang kejadian buli perlu ditangani segera mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian.

Semalam, media melaporkan seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Kubang Pasu mengalami retak tulang tangan serta dua kecederaan lain yang dipercayai akibat dibuli rakan sekelas sejak tahun lalu.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin, 32 tahun, mendakwa kecederaan itu dipercayai dilakukan oleh tiga murid dalam beberapa insiden berasingan pada 26 Mac, 17 Mei tahun lalu dan 17 Mei lalu.

Menurutnya, kejadian berulang itu menyebabkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun mengalami trauma.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.