
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditemukan maut selepas menginap di sebuah hotel di ibu negara, manakala lapan individu termasuk warga asing ditahan dalam serbuan polis susulan kejadian itu.
- Kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan ujian makmal.
- JSJN IPD Brickfields menyerbu bilik di hotel pada pukul 4 pagi susulan maklumat.
- Rampasan: satu paket plastik disyaki ketamin 1.5 gram; satu paket mengandungi tiga pil disyaki ekstasi anggaran 0.7 gram.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952; semua suspek direman tiga hari.
Individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook dalam satu kenyataan berkata, kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti punca kematian.
“Mangsa dihantar ke unit kecemasan HKL pada pukul 3.10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan dan proses bedah siasat dijalankan antara jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik mangsa di hotel terbabit pada 4 pagi.
Tambahnya lagi, polis tidak menolak kemungkinan antara dadah dan kematian mangsa namun, ujian makmal masih diperlukan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta satu paket mengandungi tiga biji pil disyaki ekstasi dengan anggaran 0.7 gram turut dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1) akta sama berkaitan penggunaan dadah.
Kesemua suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan.