
DUNGUN, 24 Mei – Mayat salah seorang remaja lemas daripada dua beradik ketika mandi-manda dalam satu kejadian di Sungai Paka, Dungun, Terengganu pagi tadi ditemukan petang ini.
- Mayat Muhammad Amir, 15, ditemukan kira-kira 3.50 petang, sekitar 5 meter daripada lokasi mangsa dikatakan terjun.
- Operasi SAR hampir empat jam; penyelam PPDA dan pasukan bomba mengendalikan pencarian di dasar sungai Kampung Beril.
- Pencarian diteruskan untuk mencari adik mangsa; suasana hiba apabila ibu bapa tiba bagi proses pengecaman.
Mayat Muhammad Amir Ashraf Mohd Zul Zunaidi, 15 tahun, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.50 petang kira-kira 5 meter daripada lokasi mangsa dikatakan terjun.
Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai Kampung Beril selepas hampir empat jam operasi SAR dijalankan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul sebelas pagi di Kampung Beril, Paka, Dungun selepas dua beradik berkenaan dikatakan sedang mandi bersama dua lagi rakannya.
Pencarian dilakukan pasukan SAR termasuk pasukan penyelam di air (PPDA) selepas melakukan pencarian dan selaman di sekitar kawasan lokasi kejadian.
Suasana hiba menyelubungi sekitar di lokasi kejadian selepas kedua ibu bapa mangsa tiba di lokasi bagi proses pengecaman.
Dalam kejadian itu, mangsa dua beradik itu masing-masing berusia 14 dan 15 tahun bersama dua rakannya dikatakan ke sungai berkenaan kira-kira pukul 10.50 pagi untuk mandi.
Kedua-dua mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Kuala Terengganu yang sedang bercuti sempena cuti persekolahan dan hari raya Aidil Adha.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dan Paka, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan
Penyelaman Di Air (PPDA) dan penduduk kampung.
Operasi SAR diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa yang juga adik kepada mayat yang ditemukan itu.