
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Hubungan ekonomi Malaysia-China terus diperkukuh apabila Beijing menyatakan hasrat untuk meningkatkan import dan memperluaskan pembelian produk dari Kuala Lumpur.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, mencerminkan kekuatan hubungan ekonomi yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
- China kekal rakan dagang terbesar Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi kukuh dan lama terjalin antara kedua negara.
- Malaysia komited menyediakan persekitaran stabil, kondusif dan boleh dijangka untuk pelaburan China sambil memperkukuh syarikat serta industri tempatan.
- Perbincangan dua hala fokus tingkatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri dalam sektor pembuatan, automotif, pertanian serta produk berkaitan perlombongan.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia amat menitikberatkan hubungan kukuh dengan China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia.
“Malaysia kekal komited dalam menyediakan persekitaran yang stabil, kondusif dan boleh dijangka untuk pelaburan China, sambil memastikan pelaburan tersebut turut memperkukuh pembangunan syarikat dan industri tempatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, usaha memudah cara perdagangan dan pelaburan perlu memberi manfaat bersama agar perusahaan di kedua-dua negara dapat terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi serantau.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Perdagangan China, TYT Wang Wentao semalam bagi membincangkan hubungan ekonomi kedua-dua negara yang dilihat terus berkembang dan semakin strategik.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha meningkatkan aktiviti ekonomi merangkumi perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.
Termasuk, dalam sektor pembuatan, automotif, pertanian serta produk berkaitan perlombongan.