
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Nafuzi Zain menyifatkan kehadiran pemain muda dari Croatia, Luka Jordy Hodak mampu menjadi nilai tambah buat skuad negara menjelang Kejuaraan B-19 ASEAN di Medan, Indonesia bulan depan.
- Luka Jordy Hodak tersenarai dalam 26 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad B-19.
- Pemilihan beliau berdasarkan pemantauan rapi, termasuk prestasi dan data permainan bersama kelab di Croatia.
- Hanya 23 pemain akan dipilih ke Kejuaraan B-19 ASEAN 2026, menjadikan persaingan dalam kem semakin sengit.
Nama Jordy menjadi perhatian selepas tersenarai dalam kelompok 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara.
Beliau berkata, pemain berkenaan dipilih berdasarkan pemantauan rapi termasuk prestasi dan data permainannya bersama kelab di Croatia.

“Kita memantau dari segi data, dari segi penglibatan beliau dengan pasukan yang sebelum ini berada di Croatia dengan kita memantau perkembangan dia.
“Kita rasa pemain ini ada sesuatu yang dapat membantu pasukan dan kita memberi peluang kepadanya serta menilai apa yang dipersembahkan sepanjang kem latihan,” katanya.
Nafuzi berkata, hanya 23 pemain akan dipilih ke kejohanan itu sekali gus menjadikan persaingan dalam kem latihan semakin sengit.

Terdahulu Nafuzi Zain menyenaraikan 26 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat bermula 21 Mei 2026 sebagai persiapan menghadapi kempen Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia bermula 1 hingga 13 Jun ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan membuka kempen menentang Singapura pada 2 Jun sebelum berdepan Brunei dan Thailand.