
TUMPAT, 22 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki serta merampas dadah disyaki heroin seberat 60 gram bernilai RM10,500 dalam Op Taring Wawasan di Jalan Kasban, Kampung Simpangan pada Khamis.
- Penunggang melarikan diri, terbabas ke dalam semak; berlaku pergelutan ketika ditahan; gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
- Ditemui bungkusan plastik lutsinar berisi 10 botol plastik serbuk keputihan disyaki heroin disorok di hadapan seluar jeans.
- Suspek positif methamphetamine; menjadi penghantar sejak Januari, terima bekalan daripada warga Thailand dikenali 'Mat' dengan upah RM100 setiap penghantaran.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam selepas cuba melarikan diri.
“Anggota PGA mengesan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan menghala ke Kuala Jambu sebelum mengarahkan penunggang berhenti untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, suspek bertindak memecut laju sebelum terbabas ke dalam semak berhampiran Jalan Kasban, Kampung Naga Ibu,” katanya menerusi hantaran pada Jumaat.
Beliau berkata, berlaku pergelutan ketika anggota cuba menahan suspek yang enggan memberi kerjasama selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Katanya, hasil pemeriksaan badan ke atas suspek menemui satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi 10 botol plastik berisi serbuk keputihan disyaki heroin yang disorok di bahagian hadapan seluar jeans dipakainya.
“Anggaran keseluruhan berat heroin dirampas ialah 60 gram dengan nilai kira-kira RM1,500.
“Turut dirampas sebuah motosikal bernilai RM9,000 serta satu rangkai anak kunci,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
“Suspek memperoleh bekalan heroin daripada seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai “Mat” di Pengkalan Haram Tualang sejak Januari lalu untuk dihantar kepada individu lain di sekitar Pengkalan Kubor dengan upah RM100 bagi setiap penghantaran.
“Siasatan turut mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan sebagai penghantar dadah hampir lima bulan dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.