
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir dan bersedia memenuhi keperluan industri francais masa kini.
- Latihan praktikal 'hands-on' melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal, digital dan khidmat pelanggan untuk perniagaan francais.
- Kerjasama erat antara industri francais dan institusi TVET membantu atasi kekurangan tenaga kerja serta tingkatkan produktiviti dan standard perkhidmatan.
- Kerajaan merancang institusi latihan khusus untuk menyelaraskan program TVET dengan keperluan operasi dan industri francais.
- FIM2026 di KLCC menawarkan seminar, pameran jenama, sesi padanan perniagaan dan program didik hibur untuk pengunjung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menerusi latihan dan pembelajaran secara langsung bagi menyediakan tenaga kerja yang dapat memenuhi keperluan pasaran semasa.
“Melalui pembelajaran praktikal dan berasaskan latihan ‘hands-on’, TVET mampu melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal, digital dan khidmat pelanggan yang diperlukan dalam perniagaan francais masa kini.
“Kerjasama yang lebih kukuh antara industri francais dengan institusi TVET juga dapat membantu menangani kekurangan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh standard perkhidmatan dalam sektor ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
FIM2026 berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu (23 Mei) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan sasaran kehadiran 25,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat disediakan kepada pengunjung termasuk sesi seminar dan forum perniagaan, pameran jenama francais tempatan dan antarabangsa, sesi padanan perniagaan, sesi perkongsian francais serta program didik hibur.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerjasama lebih kukuh antara industri francais dengan institusi TVET diyakini dapat membantu menangani kekurangan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh standard perkhidmatan dalam sektor berkenaan.
Kerajaan turut melihat keperluan mewujudkan sebuah institusi latihan khusus yang dapat menyelaraskan program TVET dengan keperluan operasi dan industri perniagaan francais.
Inisiatif tersebut difahamkan sedang diusahakan oleh kementerian berkaitan bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem bakat negara.
Usaha berkenaan dijangka mampu meningkatkan daya saing industri serta menyokong perkembangan mampan jenama francais tempatan dan antarabangsa.