Automasi industri kurangkan kebergantungan pekerja asing

Foto hiasan / FB Ministry of Investment, Trade and Industry, Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Peralihan daripada pengeluaran manual kepada automasi mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja, sekali gus membantu Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Automasi diperlukan untuk mempercepat peralihan negara ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
  • Automasi mengurangkan keperluan terhadap pekerja asing tetapi tidak menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
  • Kerajaan komited menyokong PKS walaupun kos tinggi melalui geran pemadanan hampir RM20 juta kepada kira-kira 3,000 perusahaan.
  • Automasi meningkatkan ketepatan dan kelajuan pengeluaran, memodenkan fasiliti industri serta berpotensi mengukuhkan nilai ringgit.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, usaha mempercepatkan automasi industri adalah penting bagi memastikan negara terus bergerak ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Menurut beliau, penggunaan teknologi automasi dapat mengurangkan keperluan terhadap pekerja asing selain meningkatkan kecekapan pengeluaran pada skala besar.

“Peralihan ini penting bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif di persada dunia. Jika kita terus bergantung kepada pekerja asing dan kaedah perindustrian manual, kita akan ketinggalan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa automasi membolehkan penghasilan produk yang lebih tepat serta mempercepatkan proses pengeluaran.

Mengulas lanjut, Sim berkata kerajaan komited menyokong peralihan tersebut walaupun ia memerlukan kos yang tinggi, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada kira-kira 3,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana melalui geran pemadanan dengan nilai hampir RM20 juta bagi setiap perusahaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa peralihan ke arah automasi tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Menurutnya, sebahagian besar tenaga kerja berkemahiran rendah di negara ini ketika ini diisi oleh pekerja asing, sehubungan itu automasi dilihat sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan tersebut.

Tambah beliau, pengurangan kebergantungan terhadap pekerja asing juga berpotensi menyumbang kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit, di samping membolehkan Malaysia memiliki fasiliti industri yang lebih moden dan canggih.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Metaltech dan Automax 2026, sebuah konvensyen tahunan yang memfokuskan kepada industri automotif dan kejuruteraan berat.

Turut hadir, Presiden Persekutuan Industri Jentera dan Kejuruteraan (MEIF), Mac Ngan Boon.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.