MITI perkenal tujuh inisiatif ringankan tekanan kos PMKS hadapi krisis global

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin

KUALA LUMPUR, 21 Mei -Kerajaan menyediakan tujuh inisiatif pembiayaan dan bantuan kewangan bagi membantu industri tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam mendepani krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan hijau SGBF sehingga RM10 juta, kadar faedah 2% untuk PKS, 5% untuk bukan PKS; kelulusan dalam dua hari untuk sumber tenaga alternatif.
  • EXIM Bank menawarkan perlindungan eksport, termasuk MGC Go Export Cover subsidi 30% kos takaful sehingga RM25,000 untuk lindungi pengeksport.
  • Skim Eksport Lonjakan EXL bernilai RM500 juta dengan subsidi kadar keuntungan tahunan 1% sehingga tujuh tahun bagi meningkatkan eksport.
  • SME SRF RM5 bilion sedia bagi modal kerja pada kadar 3.75% tanpa cagaran; MIDF dan BPMB tawar moratorium serta penstrukturan semula.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, inisiatif itu merangkumi pakej sokongan pembiayaan, perlindungan eksport serta bantuan kecemasan bagi mengurangkan tekanan aliran tunai dan memastikan kelangsungan operasi syarikat tidak terjejas.

“Bagi membantu industri mengurangkan kesan kenaikan tarif elektrik dan mengurangkan jejak karbon, MITI melalui MIDF telah memperkukuh keupayaan pembiayaan hijau.

“Sustainable and Green Business Financing (SGBF), pakej pembiayaan sehingga RM10 juta pada kadar faedah dua peratus untuk PKS dan lima peratus untuk bukan PKS, bertujuan mempercepat penggunaan pembuatan hijau dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

“PKS yang layak kini boleh menerima kelulusan pembiayaan dalam tempoh dua hari untuk beralih kepada sumber tenaga alternatif,” katanya dalam sidang media pengumuman program dan insentif MITI untuk krisis tenaga global, di sini.

Tambah beliau, EXIM Bank turut menyediakan beberapa skim perlindungan eksport termasuk Malaysia Global Connect (MGC) Go Export Cover yang menawarkan insentif 30 peratus ke atas kos sumbangan takaful meliputi sehingga RM25,000 untuk melindungi pengeksport daripada risiko komersial dan politik.

Selain itu, Skim Eksport Lonjakan (EXL) bernilai RM500 juta turut diperkenalkan dengan subsidi kadar keuntungan tahunan satu peratus untuk tempoh sehingga tujuh tahun bagi meningkatkan keupayaan syarikat tempatan di pasaran antarabangsa.

Pada masa sama, MIDF juga menyediakan pilihan moratorium dan penstrukturan semula pembiayaan sehingga 12 bulan kepada pelanggan terjejas, manakala Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menawarkan moratorium hingga enam bulan bagi pelanggan PKS melibatkan pembiayaan berjangka dan kemudahan perdagangan.

Menurut beliau, PKS juga boleh memanfaatkan skim sedia ada termasuk SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) bernilai RM5 bilion yang telah tersedia sejak 15 Mei 2026, menawarkan modal kerja pada kadar sehingga 3.75 peratus setahun tanpa keperluan cagaran kepada PKS berdaya maju yang terkesan.

“Kita semua faham industri sedang melalui masa yang sangat sukar. Kita tidak tahu bila perang ini akan berakhir. Setakat yang kita faham, industri telah memberi maklum balas bahawa kos logistik mereka meningkat mungkin sehingga 50 peratus.

Secara purata, kos meningkat sekitar 5 hingga 15 peratus. Jadi mereka sedang tertekan. Namun, kerajaan memahami perkara ini. Sebab itu MITI menggabungkan semua inisiatif dan mengumumkannya sekali gus supaya PKS faham bahawa MITI tidak meninggalkan mereka di belakang,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.