
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pengekalan bantuan BUDI MADANI Diesel RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak berupaya mengurangkan tekanan aliran tunai.
- Pengekalan bantuan BUDI MADANI Diesel beri kelegaan kepada pengguna diesel, mengurangkan tekanan kos operasi dan kos sara hidup.
- Bantuan membantu menahan kenaikan harga barang dengan mengurangkan pemindahan kos operasi kepada pengguna.
- Kesan terhadap inflasi terhad; kerajaan disarankan laksanakan subsidi diesel bersasar dan bantuan logistik mudah diakses tanpa birokrasi.
Pensyarah Jabatan Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, ia juga secara tidak langsung membantu mengelakkan kenaikan harga barang yang terlalu cepat kepada pengguna.
Tambah beliau, dengan mengekalkan jumlah bantuan BUDI MADANI Diesel itu juga dijangka memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bergantung kepada penggunaan diesel.
Ini khususnya kepada pemilik kenderaan diesel yang memperoleh manfaat lebih besar sekiranya layak menerima bantuan atau masih menikmati skim subsidi berkaitan.
“Ia akan dapat membantu menahan kenaikan kos operasi, sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup.
“Apabila penerima berdepan dengan kenaikan kos operasi, sedikit sebanyak mereka akan dapat menyerap kenaikan kos tersebut tanpa memindahkan kesannya dalam bentuk kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.
“Sementara itu, bantuan interim tambahan sebanyak RM100 pula dapat membantu dalam jangka masa pendek, khususnya untuk menampung sebahagian daripada kos bahan api,” katanya kepada RTM.
Bagaimanapun, kesan bantuan terhadap kadar inflasi keseluruhan dilihat terhad kerana inflasi turut dipengaruhi pelbagai faktor lain termasuk kos makanan, kos logistik, kadar pertukaran mata wang asing serta harga barangan import.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan melaksanakan skim lain seperti subsidi diesel bersasar dan mekanisme bantuan untuk sektor logistik dilaksanakan secara lancar, mudah diakses serta tidak membebankan daripada sudut birokrasi.
Ini bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh.