
KUALA LUMPUR, 21 Mei– Pelanjutan Inisiatif Skim Simen RAHMAH membuktikan keberkesanan kerjasama sektor awam dan swasta dalam menangani cabaran pemilikan rumah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- REHDA menyokong pelanjutan Skim Simen RAHMAH dan menggesa ahli memanfaatkan inisiatif secara bertanggungjawab mengikut garis panduan.
- Inisiatif ini selaras objektif REHDA untuk menyokong pembangunan rumah mampu milik demi manfaat pembeli dan industri.
- REHDA akan menggalakkan ahli menyediakan kediaman berkualiti, mampu milik, tepat pada masa dan mampan.
- Kerajaan memperluaskan skim dengan peruntukan simen bagi menyokong pembinaan rumah mampu milik termasuk projek persekutuan, negeri dan swasta.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Ho Hon Sang dalam kenyataan berkata pihaknya menghargai usaha kerajaan untuk meneruskan inisiatif itu secara proaktif, ketika kos bahan binaan yang meningkat dan tekanan ekonomi global menjejaskan rantaian bekalan.
”Kami menyokong komitmen berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperluaskan Inisiatif Skim Simen RAHMAH. ‘REHDA Malaysia turut menggesa para ahli untuk memanfaatkan inisiatif ini secara bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.”
”Ia selaras objektif persatuan untuk menyokong pembangunan rumah mampu milik demi manfaat pembeli rumah dan industri,” jelas beliau.
Tambah beliau, REHDA akan terus menggalakkan ahlinya memainkan peranan dalam pembangunan negara dengan menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat secara tepat pada masanya serta mampan.
Pada Rabu (20 Mei), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan sejak dilaksanakan pada 2023, inisiatif itu merekodkan penggunaan hampir 317,000 tan metrik simen bagi menyokong pembinaan 11,909 rumah mampu milik.
Menerusi inisiatif itu, kerajaan memperuntukkan 1.6 juta tan metrik simen untuk menyokong pembinaan kira-kira 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Skim yang menawarkan simen dengan harga lebih rendah berbanding dengan harga pasaran itu turut diperluas merangkumi projek perumahan mampu milik di bawah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta swasta.