
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Standard Chartered Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.5 peratus bagi 2026, mengambil kira kedudukan negara yang kukuh dalam mengharungi krisis minyak semasa.
- Pertumbuhan KDNK Malaysia kekal berdaya tahan, mencatat 5.4% pada suku pertama.
- Pertumbuhan KDNK meningkat 12 suku berturut-turut sebelum ini.
- Eksport perkhidmatan dan pelaburan swasta kekal kukuh pada suku pertama.
- Risiko kenaikan kadar faedah meningkat; perubahan kenyataan dasar mencadangkan peralihan daripada pendirian neutral.
Menurut Unit Penyelidikan Global bank itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun ini, dengan mencatat pertumbuhan 5.4 peratus.
“Walaupun pertumbuhan suku ke suku adalah mendatar, kami ingin menegaskan pertumbuhan KDNK telah meningkat selama 12 suku berturut-turut sebelum ini.
Eksport untuk perkhidmatan dan pelaburan swasta adalah kukuh pada suku pertama,” menurut bank berkenaan dalam nota penyelidikan hari ini.
Bank itu turut menjangkakan perbelanjaan pengguna akan kekal menyokong ekonomi untuk tempoh-tempoh akan datang, didorong oleh pertumbuhan gaji yang berterusan, dasar berkaitan dengan pendapatan dan bantuan tunai.
Selain itu, subsidi bahan api BUDI95 sewajarnya dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap isi rumah sekali gus mengehadkan kesan negatif kepada penggunaan.
Sementara itu, Standard Chartered menjelaskan, risiko kenaikan kadar faedah semakin meningkat dalam persekitaran tekanan harga yang semakin meluas.
”Perubahan kecil dalam kenyataan dasar, termasuk gambaran pendirian dasar monetari kepada “sesuai dan konsisten” berbanding sebelum ini “sesuai dan menyokong”, pada pandangan kami menunjukkan peralihan daripada pendirian neutral,” katanya.
Bank itu turut menyatakan, kedudukan keseluruhan imbangan pembayaran pada suku pertama adalah kukuh pada 3.2 peratus daripada KDNK.
Standard Chartered turut mengekalkan prospek positif terhadap ringgit.