UPM, MPCA buka ruang kerjasama pelaburan inovasi universiti menjelang URIIS 2026

Foto UPM

SERDANG, 18 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Malaysian Private Capital Association (MPCA) membuka ruang kerjasama lebih luas antara universiti dan pelabur menerusi program “Opening Access to Capital: Roundtable for Universities and Venture Capitalists” sebagai persediaan menuju University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Platform pertemuan antara universiti, modal teroka dan penggubal dasar untuk mempercepat akses pembiayaan serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
  • Universiti perlu menghasilkan inovasi berimpak; penyelidikan tempatan berpotensi tetapi masih berdepan cabaran pembiayaan dan sokongan strategik.
  • Perkukuh ekosistem startup universiti melalui pendanaan, jaringan strategik dan akses pasaran untuk mempercepat pengkomersialan serta kurangkan kebergantungan geran kerajaan.

Program itu menjadi platform pertemuan antara wakil universiti, pelabur modal teroka (venture capital) dan penggubal dasar bagi membincangkan usaha mempercepat akses pembiayaan serta membantu hasil penyelidikan universiti berkembang ke pasaran industri dan antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata universiti hari ini perlu memainkan peranan lebih besar dalam menghasilkan inovasi yang mampu memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat.

Beliau berkata banyak hasil penyelidikan tempatan mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan, namun masih berdepan cabaran dari sudut pembiayaan, sokongan strategik dan akses kepada ekosistem pelaburan.

“Kita tidak mahu hasil penyelidikan hanya berhenti di makmal atau dalam jurnal akademik semata-mata. Universiti perlu menjadi tempat yang mampu melahirkan inovasi bernilai tinggi dan diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk masyarakat serta industri,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Beliau berkata usaha memperkasa ekosistem ‘startup’ universiti perlu diperkukuh melalui sokongan pendanaan, jaringan strategik dan akses pasaran agar lebih banyak inovasi tempatan mampu berkembang ke peringkat global.

“Kolaborasi seperti ini penting untuk meningkatkan daya saing negara dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain membuka lebih banyak peluang pelaburan strategik,” katanya.

Foto UPM

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata UPM komited memperkukuh budaya inovasi dan tadbir urus universiti bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada industri dan masyarakat.

Menurut beliau, kerjasama antara universiti dan komuniti pelabur penting dalam membina ekosistem inovasi yang mampan serta mempercepat proses pengkomersialan teknologi tempatan.

“Program ini juga menjadi langkah strategik menjelang URIIS 2026 dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pemacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

URIIS 2026 merupakan inisiatif nasional yang diterajui Universiti Putra Malaysia melalui Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menghimpunkan universiti, pemain industri dan pelabur untuk mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan.

Penganjuran program itu dijangka menjadi antara platform penting dalam memperluas jaringan kerjasama strategik, selain mengurangkan kebergantungan penyelidikan universiti terhadap geran kerajaan semata-mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.