Torneo Apertura: Belgrano lakar kejutan mara ke pentas akhir

Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 18 Mei -Belgrano mengesahkan pertemuan menentang River Plate minggu depan selepas menewaskan Argentinos Juniors menerusi penentuan penalti 4-3 dalam aksi separuh akhir Argentina Torneo Apertura, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belgrano dibolosi seawal minit keenam oleh Facundo Jainikoski.
  • Nicolas Fernandez menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua.
  • Perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan akhirnya ke penentuan sepakan penalti.
  • Argentinos mendahului 3-1 dalam penalti namun gagal menyempurnakan dua sepakan terakhir.

Dalam aksi mendebarkan di Estadio Diego Armando Maradona itu, gawang Belgrano bocor seawal minit keenam hasil jaringan penyerang tuan rumah, Facundo Jainikoski, yang meletakkan Argentinos Juniors di hadapan.

Nicolas Fernandez muncul wira Belgrano apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan dan akhirnya ke penentuan sepakan penalti.

Argentinos Juniors kelihatan sekali lagi berpeluang cerah untuk mara apabila selesa mendahului 3-1 dalam sesi penentuan penalti tersebut.

Bagaimanapun, kegagalan menyempurnakan dua sepakan terakhir membuka ruang buat Belgrano, yang tenang menyempurnakan tiga penalti berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan 4-3.

Susulan kemenangan tersebut, Belgrano dijadualkan berdepan gergasi bola sepak Argentina, River Plate, pada aksi akhir yang akan berlangsung pada 24 Mei ini bagi merebut trofi kejuaraan berprestij itu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.