Puluhan ribu penyokong Inter Milan banjiri pusat bandar, rai gelaran berganda domestik

Foto REUTERS

MILAN, 18 Mei – Pusat bandar raya Milan bertukar menjadi ‘lautan hitam dan biru’ apabila puluhan ribu penyokong Inter Milan berkumpul sehingga lewat malam bagi menyambut perarakan kejayaan pasukan mereka, malam tadi (Ahad).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyokong memenuhi Piazza del Duomo, menyalakan suar, mengibarkan bendera dan melaungkan "Forza Inter".
  • Inter mengesahkan gelaran Serie A ke-21 dan menjuarai Piala Coppa Italia selepas menewaskan Lazio 2-0.
  • Kejayaan berganda dipandang sebagai bukti sentuhan magis dan reputasi jurulatih Cristian Chivu memimpin musim yang gemilang.

Kehadiran penyokong yang memenuhi Piazza del Duomo berjam-jam lebih awal itu adalah bagi menyaksikan barisan bintang Nerazzurri menjulang dua trofi utama domestik selepas mengharungi musim yang luar biasa.

Suasana di dataran katedral ikonik itu bertukar menjadi bingit dan meriah apabila para penyokong mula menyalakan suar, mengibarkan bendera kelab, serta mendendangkan laungan keramat “Forza Inter” sebaik sahaja kelibat bas berbumbung terbuka yang membawa pasukan mereka tiba.

Sambutan luar biasa itu adalah bagi meraikan kejayaan Inter Milan yang mengesahkan kejuaraan liga (Serie A) buat kali ke-21 awal bulan ini, selain kejayaan menundukkan Lazio 2-0 di pentas akhir Piala Coppa Italia.

Kejayaan meraih gelaran berganda itu sekali gus membuktikan sentuhan magis serta reputasi ketua jurulatihnya, Cristian Chivu, yang berjaya memimpin pasukan itu mengharungi musim penuh gemilang.

Perarakan raksasa berkenaan bermula dari perkarangan Stadium San Siro, sebelum bergerak perlahan-lahan merentasi laluan utama di pusat bandar Milan dan berakhir di Duomo yang menyaksikan para pemain dan barisan kejurulatihan berkongsi detik bersejarah itu bersama peminat setia sehingga lewat malam. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.