
MIAMI, 18 Mei – Bintang legenda Argentina, Lionel Messi, mempamerkan aksi kelas tersendiri apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan gol magis untuk membantu Inter Miami mencatatkan kemenangan menewaskan Portland Timbers 2-0, hari ini.
- Kemenangan menamatkan badi tanpa kemenangan Inter Miami di stadium baharu Nu Stadium.
- Kemenangan melonjakkan mereka ke puncak Eastern Conference, satu mata di hadapan Nashville SC.
- Inter Miami memperlahankan rentak babak kedua; Portland cuba bangkit termasuk sepakan percuma akhir yang diselamatkan James Pantemis.
- Aksi cemerlang itu memberi tonik menjelang Piala Dunia 11 Jun, beliau dijangka cipta sejarah bersama Cristiano Ronaldo.
Kemenangan bermakna itu bukan sahaja menamatkan badi tanpa kemenangan Inter Miami di laman sendiri yang berkapasiti 27,000 penonton itu, malah melonjakkan kelab kendalian juara bertahan Major League Soccer (MLS) tersebut ke persada carta Eastern Conference, satu mata di hadapan Nashville SC.
Beraksi di stadium baharu, Nu Stadium,pemain berusia 38 tahun itu membuka tirai jaringan pada minit ke-30 selepas memulakan dan menyempurnakan sendiri gerakan hantaran satu-dua bersama Luis Suarez dan Telasco Segovia, sebelum melepaskan rembatan leret ke penjuru gol lawan.
Sepuluh minit kemudian, pemenang Ballon d’Or lapan kali itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila melakukan larian memukau melepasi empat pertahanan Portland Timbers, sebelum menggunakan luar kaki kirinya untuk melorongkan bola yang mudah disempurnakan oleh German Berterame.
Meskipun Inter Miami memperlahankan rentak permainan pada babak kedua, skuad pelawat terus berdepan detik sukar termasuk cubaan sepakan percuma menarik Messi pada minit-minit akhir perlawanan yang berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Portland Timbers, James Pantemis.
Keputusan terdahulu Inter Miami sekadar mencatatkan tiga keputusan seri dan satu kekalahan memalukan 3-4 kepada Orlando City.
Aksi bertenaga Messi itu turut memberikan tonik terbaik buat dirinya menjelang saingan Piala Dunia yang akan membuka tirai pada 11 Jun ini di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada, menyaksikan beliau dijadual mencipta sejarah bersama Cristiano Ronaldo sebagai pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia. – AFP