Johor Jewels juara NSL Regional Cup

Johor Jewels mengatasi Terengganu Marvels dengan keputusan 56-48

KUALA LUMPUR, 18 Mei Johor Jewels muncul juara CelcomDigi NSL Regional Cup 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Johor Jewels mengatasi Terengganu Marvels 56-48 di perlawanan akhir.
  • Kapten Fariha Razak syukur, sebut perjalanan panjang; pemain penat namun terus berjuang.
  • Gretel Bueta dinobat MVP dan Best Shooter; Cornelia Mupenda Best Defender; Fatin Najiha Best Attacker.

Perlawanan akhir yang amat sengit di Stadium Juara, Bukit Kiara itu menyaksikan Johor Jewels mengatasi Terengganu Marvels dengan keputusan 56-48 untuk dinobatkan sebagai juara bagi edisi kali ini.

Johor Jewels mendominasi perlawanan sejak awal permainan dengan Terengganu sesekali cuba merapatkan mata, namun gagal menyekat kemaraan permata dari selatan itu.

“Alhamdulillah, saya rasa ini merupakan antara perjalanan paling panjang yang pernah kami lalui kerana kami bermula dengan pra-musim, kemudian mengharungi liga sebenar serta Regional Cup.

“Pada fasa terakhir ini, semua pemain berasa penat, namun kami tetap meneruskan perjuangan. Kami terlepas peluang dalam saingan liga, tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berusaha.

“Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya menamatkan saingan dengan satu kejayaan yang amat bermakna dan cukup berharga,” kata kapten pasukan Johor Jewels, Fariha Razak.

Selaku naib juara, Terengganu Marvels menggondol hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat ketiga disandang KL Wildcats yang memperoleh hadiah kemenangan RM5,000.

Sementara itu, anugerah Best Defender dimenangi Cornelia Mupenda dari Terengganu yang menerima hadiah wang tunai RM1,000, manakala anugerah Best Attacker menjadi milik Fatin Najiha, juga dari Terengganu dengan hadiah wang tunai RM1,000.

Anugerah Best Shooter pula dirangkul Gretel Bueta dari Johor yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Bueta turut dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP), sekali gus membawa pulang RM1,500.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.