
IPOH, 16 Mei -Kerajaan menegaskan tiada sebarang pertimbangan akan diberikan terhadap isu pengampunan melibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
- Perdana Menteri: kes penyelewengan Jho Low terlalu serius, melibatkan kerugian besar negara, sukar diberi pengampunan.
- Beliau berkata kenyataannya 'tak berbangkit' disalahfaham media; maksudnya tidak mempertimbangkan kemungkinan permohonan pengampunan.
- Laporan asing menyebut Jho Low dikatakan mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
- Jho Low didakwa terlibat penyelewengan dana 1MDB bernilai berbilion dolar Amerika dan masih diburu pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes penyelewengan yang dikaitkan dengan individu berkenaan terlalu serius kerana melibatkan kerugian besar kepada negara.
Jelas beliau, kenyataannya sebelum ini berhubung perkara itu telah disalah faham sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran dalam laporan media.
“Yang saya katakan ‘tak berbangkit’ bukan bermaksud tiada isu. Maksud saya, kita tidak langsung mempertimbangkan kemungkinan dia memohon pengampunan. Jika seseorang itu terlibat dalam kecurangan, jenayah, dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit, mustahil untuk dia memohon pengampunan.
“Jadi itu yang saya maksudkan. Tetapi apabila saya sebut ‘tidak diberi pertimbangan’, saya lihat sesetengah media melaporkannya secara berbeza,” katanya kepada pemberita pada majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, di sini.
Sebelum ini, media asing melaporkan Jho Low dipercayai mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Laporan sama turut menyebut, sekiranya permohonan tersebut diluluskan, pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat terhadap ahli perniagaan itu berkemungkinan digugurkan.
Jho Low sebelum ini didakwa terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB bernilai berbilion dolar Amerika dan sehingga kini masih diburu pihak berkuasa.