
HULU LANGAT, 13 Mei – Air Terjun Sungai Gabai di Hulu Langat dipilih sebagai projek angkat sempena Program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0, sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula ekonomi penduduk setempat menerusi sektor pelancongan.
- Istana menunjukkan keprihatinan terhadap pemulihan kawasan selepas tragedi kepala air 2021.
- Kerja baik pulih akan dilaksanakan secara berfasa sebelum pembukaan semula kepada pengunjung.
- Pembangunan termasuk penambahbaikan kemudahan asas dan parkir untuk meningkatkan keselesaan pengunjung serta peluang ekonomi setempat.
- Raja Muda memperkenankan kelulusan fasa pertama kerja pembaikan bernilai kira-kira RM1 juta.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata pemilihan lokasi pelancongan itu mencerminkan keprihatinan pihak istana terhadap usaha membangunkan semula kawasan berkenaan selepas terjejas akibat tragedi kepala air pada tahun 2021.
Menurut beliau, Air Terjun Sungai Gabai sebelum ini merupakan antara destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelawat tempatan dan antarabangsa kerana keindahan alam semula jadinya.
Katanya, kerja baik pulih kawasan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa sebelum dibuka semula kepada pengunjung dalam masa terdekat.
Beliau turut berharap pembangunan semula itu melibatkan penambahbaikan kemudahan asas termasuk parkir kenderaan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung serta membuka semula peluang ekonomi kepada penduduk sekitar.
“Kawasan ini juga dikaitkan dengan Geopark Selangor. Kalau di Gombak terkenal dengan batu kapur, di sini pula terdapat Gunung Nuang, Sungai Gabai dan kolam air panas,” katanya.
Datuk Johan berkata, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut memperkenankan kelulusan fasa pertama kerja pembaikan Air Terjun Sungai Gabai bernilai kira-kira RM1 juta.
Menurut beliau, lawatan ke Sungai Gabai merupakan antara pengisian utama Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 di Hulu Langat yang berakhir hari ini.
Sepanjang program berlangsung, baginda turut berkenan melawat Ampang Look Out Point, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bahulu Classiq.
Baginda juga berkenan menyumbang makanan tengah hari kepada murid Sekolah Kebangsaan Dusun Tua selain menghadiri sesi libat urus bersama penduduk sekitar Sungai Gabai.
Sementara itu, EXCO Negeri Selangor, Rizam Ismail berkata Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 akan diteruskan ke daerah Sabak Bernam pada 3 dan 4 Jun depan dengan pelbagai pengisian berteraskan santunan rakyat dan pengukuhan perpaduan masyarakat.
Menurut beliau, beberapa isu melibatkan penduduk termasuk tuntutan hak milik tanah di kawasan berkenaan berjaya diselesaikan secara harmoni hasil kerjasama kerajaan negeri dan penduduk setempat.
“Beberapa permasalahan penduduk telah berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, termasuk berkaitan tuntutan hak milik tanah di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, program yang dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Jun itu bakal diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
GRS diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan di Selangor menerusi enam agenda utama termasuk karnival komuniti, eksplorasi, dasar perpaduan, lagu perpaduan serta pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
Dalam edisi pertama yang bermula Februari 2024, program itu telah menjelajah ke seluruh daerah di Selangor bermula di Hulu Selangor sebelum berakhir di Gombak.
Terdahulu, Tengku Amir Shah turut berkenan melawat The Green Factory di Ampang Jaya, sebuah kilang milik syarikat Bumiputera yang menghasilkan produk kayu dan perabot berkonsep sifar sisa serta ekonomi kitaran.